RSS

Cara mendapat rezeki yang tak terduga

Wednesday, July 13, 2011

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah


Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    1. kita ingat 10 % apayang dibaca
    2. kita ingat 20% apa yang didengar
    3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
    …Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….
  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    1. pastikan cahaya adalah terang
    2. kurangkan gangguan bunyi
    3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    5. kerusi dan meja menghadap kiblat
    6. jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    1. memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    2. menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    3. mengingat kembali (recall)
    4. menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    1. persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    2. pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    3. belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    4. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    1. duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    2. memberikan tumpuan sepanuhnya
    3. menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    4. menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    1. cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    2. siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
    3. duduk tegak dikerusi yang selesa
    4. baca doa penerang hati
    5. baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    6. fikir dan ingat kembali isi utama
    7. catat/lakar
    8. semak semula ketepatan maklumat
    9. ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    10. buat rumusan
    11. jawab soalan
    12. tampal maklumat yang rumit di dinding
    13. baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    1. jangan makan kepala ikan
    2. jangan makan organ dalaman
    3. jangan minum semasa makan
    4. jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    5. jangan melihat kemaluan
    6. jangan melihat buih
    7. jangan membaca nama pada batu nisan
    8. banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    9. banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    10. banyakkan makan kekacang
    11. pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    12. jangan makan sehingga terlalu kenyang
    13. jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    1. tampal nota-nota penting di dinding
    2. tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    3. gunakan kaedah akronim
    4. reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    5. pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    1. mempunyai jadual belajar
    2. patuh kepada jadual
    3. buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    1. taat kepada Allah
    2. mendirikan sembahyang
    3. menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    4. hormati & sayangi guru
    5. bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    6. suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    7. membantu rakan yang memerlukan
    8. berdoa dan bersyukur kepada Allah
    9. sentiasa bertawakal
    10. mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Monday, July 11, 2011

Strategi Berhadapan Dengan Anak Yang Suka Bertanya | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Strategi Berhadapan Dengan Anak Yang Suka Bertanya | iluvislam.com + discover the beauty of islam


Soalan: Assalamualaikum Puan. Anak lelaki saya berusia empat tahun, baru masuk tadika. Masalah saya ialah dia sangat suka bertanya soalan. Saya sendiri agak pendiam dan sering terasa rimas dengan soalan-soalannya, lebih-lebih lagi jika saya tiada jawapannya. Apa pandangan puan?
Jawapan: Waalaikumsalam wbt. Sesetengah ibu-bapa kurang selesa jika anak mereka suka bertanya soalan. Mereka terasa tercabar, lebih-lebih lagi jika tidak mampu menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh si anak.
Pada pandangan saya, anak yang suka bertanya soalan adalah satu kurniaan Ilahi yang sangat istimewa. Anak-anak sebegini jika dilayani berpotensi menjadi remaja dan seterusnya orang dewasa yang bijak berfikir dan petah berbicara. Saya maksudkan di sini bukan sembang kosong yang tiada makna, tetapi secara ilmiah dan padat isinya. Sekaligus mencerminkan ketajaman minda.
Sebenarnya mendidik anak yang petah berbicara bukanlah di luar jangkauan kebanyakan ibu bapa. Terutama jika anak tersebut jelas minat bercakap dan suka bertanya sejak kecil lagi.
Anak yang petah berbicara ada dua kelebihan: bijak memilih kata-kata dan pintar berfikir.
Bijak Memilih Kata-Kata
Lazimnya kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah olahan soalan dan ayatnya masih kurang teratur. Perhatikan perbualan antara Man (empat tahun) dan ibunya di bawah sewaktu dalam perjalanan balik dari tadika.
Contoh:
Man: (melihat ke langit) Ibu, cikgu kata awan tu air. Kenapa awan tak jatuh?
Ibu: Hmm ... menarik soalan tu. Ibu agak mungkin sebab awan terlalu ringan, jadi hanya terapung sahaja di angkasa.
Man: Betul ke ibu?
Ibu: (tersenyum) Ibu tak pasti sebenarnya. Sampai rumah nanti kita Google sama-sama, OK?
Perhatikan:
1) Ibu tidak malu mengaku dirinya tidak tahu
2) Ibu sengaja menyebut "terapung" dan "angkasa" – menambah perbendaharaan kata-kata anaknya sekaligus mengembangkan pemikiran si anak dan membimbingnya supaya bijak memilih kata-kata
3) Ibu tersenyum – tidak membidas atau meremehkan soalan yang diajukan anaknya
Pintar Berfikir
Sampai di rumah, ibu membantu Man membuat carian "why clouds float" ("mengapa awan terapung") menerusi Google dan menyambung diskusi.
Ibu: Man, kalau Man tuangkan air yang penuh dalam cawan, ke mana air tu tumpah?
Man: Ke tanah?
Ibu: Kenapa tidak tumpah ke atas? Kenapa air tu tak terapung di udara macam awan?
Man: Man tak tau ... (berfikir)
Ibu: Awan sebenarnya adalah titik-titik air yang sangat halus. Titik-titik air ini tersebar di angkasa. Bila dah tersebar, ia jadi ringan, udara di angkasa boleh tampung. Tak seperti air yang penuh dalam cawan.
Mungkin anda tertanya: Mampukah anak berusia empat tahun memahami diskusi seperti ini?
Jawapannya: Boleh, jika anak tersebut sudah dibiasakan dilayan begini. Jika tidak 100%, sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya. Apa yang dilakukan oleh ibu di atas ialah melatih anaknya berfikir secara kritikal.

Bercakap Santapan Minda
Bandingkan gaya interaksi di atas dengan yang berikut:
Man: (melihat ke langit) Ibu, kenapa awan tak jatuh?
Ibu: (acuh tak acuh) Mana ibu tahu. Tanya cikgu kat sekolah!
Interaksi kedua terbantut di situ sahaja kerana ibu langsung tidak menunjukkan minat terhadap soalan Man.
Kualiti pemikiran anak-anak sebahagian besar bergantung kepada kesediaan dan kesabaran ibu bapa melayani sifat ingin tahu yang membara dalam jiwa setiap anak.
Si anak meningkat keyakinan dirinya bila ibu bapa berusaha sedaya upaya mencari jawapan untuk soalan-soalan yang ditanyakan. Tidak seperti anak yang soalan-soalannya tidak diendahkan, merasa dirinya kurang pintar dan tidak layak diberi jawapan.
Setiap soalan yang diajukan anak kecil membuka peluang keemasan untuk ibu bapa mengembang dan menajamkan mindanya. Setiap interaksi antara ibu bapa dan anak adalah santapan minda untuk anak tersebut.
Internet Dan Pengaruhnya
Gaya hidup Internet merobah segalanya. Ledakan informasi bermakna anak anda dihujani dengan maklumat yang seringkali kurang tepat dan mengelirukan. Paling serius jika ia membabitkan aqidah dan kefahaman terhadap prinsip-prinsip Islam. Pun begitu, Internet boleh menjadi sumber maklumat dan rujukan paling berharga jika anak anda tahu cara menggunakannya. Point saya di sini ialah, anak-anak yang tidak diendahkan soalan-soalannya kurang mahir berfikir secara kritikal dan lebih mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif di luar sana.
Mustahil ibubapa boleh menjawab dengan tepat semua soalan yang diutarakan anak-anak. Yang perlu dibuat ialah membimbing anak-anak supaya tidak mudah menelan bulat-bulat apa jua maklumat yang diterima.
Segelintir ibu bapa pula berpendapat bahawa tugas menjawab soalan anak-anak harus dipikul oleh guru. Hari ini, sistem sekolah amat menitikberatkan peperiksaan. Sekolah tidak menggalakkan anak-anak bercakap mahupun bertanya soalan kerana ianya dilihat sebagai mengganggu kelancaran guru mengajar.
Sistem sekolah yang "exam-oriented" sebegini sebenarnya bercanggah dengan naluri ingin tahu setiap kanak-kanak. Ini salah satu sebab ramai anak-anak yang hilang minat belajar di sekolah. Kepintaran anak-anak diukur berdasarkan pencapaian akademik.
Guru wajib menghabiskan silibus yang ditetapkan. Ditambah pula dengan pelbagai isu disiplin yang meningkatkan tahap tekanan guru, tidak hairanlah jika guru kesuntukan masa dan jarang sekali berpeluang melayani sifat ingin tahu kanak-kanak.
Ini bermakna, jika anda impikan anak yang pintar berfikir dan petah berbicara, andalah yang perlu bersikap proaktif dan membimbingnya tanpa jemu! Setiap soalan yang sarat dengan "mengapa", "kenapa", dan "bagaimana" yang terpacul dari mulut anak anda seharusnya diraikan dan diberikan respons sebaik yang anda termampu.

Biodata Kolumnis

Jamilah Samian merupakan seorang Certified Professional Trainer (CPT) dan aktif dalam Toastmasters International. Beliau berkelulusan Ijazah Psikologi dari Upper Iowa University (USA), Ijazah Sains Komputer dan Matematik dari Indiana State University (USA) dan Diploma Penulisan dari London School of Journalism (UK). Beliau juga merupakan penulis buku "Cool Mum Super Dad" dan "Cool Boys Super Sons." Anda boleh ajukan soalan-soalan anda kepada penulis di jamilah.samian@gmail.com

Friday, July 8, 2011

Bijak Belajar

Kebanyakan pelajar, yang gagal di dalam pelajaran mereka bukan kerana malas ataupun lemah. Mereka sebenarnya menghadapi kesukaran ataupun tidak mengetahui cara-cara mengulangkaji pelajaran mereka.

Terdapat beberapa kaedah yang dapat membantu pelajar-pelajar sebagai panduan.

1. Menyediakan jadual pembelajaran secara sistematik.

2. Rutin belajar yang sama pada tiap-tiap hari bagi melatih otak menerima tabiat belajar.

3. Pilihlah masa untuk mengulangkaji sewaktu semangat belajar di tahap maksimum.

4. Elakkan perkara-perkara yang mengganggu proses pembelajaran. Ahli keluarga harus bertolak ansur dalam memberi ruang untuk anda belajar.

5. Nota yang telah dibuat hendaklah diulangkaji pada hari yang sama.

6. Anda akan mendapat lebih manfaat sekiranya anda mempunyai matlamat belajar

7. Elakkan belajar di tempat yang boleh menyebabkan rasa mengantuk.

8. Belajarlah dengan tujuan menimba ilmu bukanlah sekadar untuk lulus peperiksaan.


Pelajar-pelajar yang kandas adalah pelajar-pelajar yang : 


1. Tidak mempunyai jadual belajar yang tetap dan hanya bergantung kepada "mood" untuk belajar. 

2. Tidak suka mengulangkaji pelajaran dan selalu mengulangkaji pelajaran di saat-saat akhir peperiksaan.memudahkan mengulangkaji pelajaran. 

3. Mengganggap TV dan lagu dapat membantu 

4. Belajar semata-mata untuk peperiksaan. 

Sumber :- Learning Skill Center The University of Texas at Austin (Study Tips)

Thursday, July 7, 2011

Tips Anak Cerdas & Cergas








  • Tidur awal dapat memberi kesegaran kepada anak apabila bangun tidur pada keesokkannya. Jadi, hadkan aktiviti pada malam hari dengan menyuruh anak memasuki kamar seawal 9.00 malam. Badan yang segar, membuatkan minda cerdas dan cergas. Malah situasi mengantuk dan hilang fokus dalam kelas dapat dielakkan.


  • Pemakanan yang berkhasiat dan baik membuatkan pertumbuhan si kecil sempurna sekaligus cergas dan meningkatkan kekuatan fizikalnya.
Pemakanan yang berkhasiat dan baik penting untuk pertumbuhan tubuh yang sihat dan sempurna. Ia bukan sahaja meningkatkan kekuatan fizikal dan cergas tetapi juga kecerdasan otak. Jika pengambilan makan berkhasiat diabaikan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan kesihatannya.

Oleh itu, mengawal pemakanan terhadap kanak-kanak perlu untuk mengelak daripada menghadapi masalah kesihatan seperti tumbesaran yang terbantut, letih, malnutrisi, perkembangan kognitif  dan emosi atau akademik  yang terjejas.

Terdapat beberapa jenis vitamin yang memainkan peranan penting untuk pertumbuhan si kecil antaranya vitamin A yang menggalakkan sistem imun si kecil. Vitamin C pula untuk gigi dan gusi serta membantu tubuh menyerap zat besi dan kalsium yang mana si kecil memerlukan untuk pertumbuhan gigi yang sihat.

Selain itu, jangan abaikan juga pemakanan yang mengandungi vitamin D. Ini kerana jika kekurangan vitamin, ia menyebabkan kanak-kanak mengalami rickets atau cacat tulang terutama belakang, kaki dan tengkorak; tulang mudah patah, bengkak sendi dan lemah otot. Sementara itu, mineral seperti zat besi, zink dan magnesium juga menjadi zat pemakanan yang untuk pertumbuhan si kecil. Misalnya zink penting untuk penyembuhan kulit dan tumbesaran. Juga magnesium untuk pembentuk tulang dan gigi dan umumnya penting dalam diet harian si kecilkelas dapat dielakkan



Tip galak anak makan makanan  yang berkhasiat


Ibu  perlu kreatif untuk menghidangkan makanan untuk si kecil bagi menarik minat dia menjamah hidangan yang berkhasiat. Ikuti panduan seperti berikut:
  • Potongan buah-buahan dan sayur-sayuran ,potongan keju dan roti sandwic dalam saiz yang kecil untuk mudah si manja mengunyahnya.
  • Buah-buahan segar adalah antara snek yang terbaik. Epal, pear dan oren mudah dibawa. Potong halus dan hidangkan.
  • Buat salad buah-buahan dengan yogurt rendah lemak untuk menambah pengambilan kalsium.
  • Jagung panggang, rebus atau kukus adalah snek kaya dengan serat (jangan tabur garam & sapu marjerin atau mentega) begitu juga dengan pisang segar.
  • Jangan benarkan mereka makan makanan ringan kurang daripada satu jam sebelum waktu makan.
  • Menggalakkan kanak-kanak untuk mencuba makanan yang baru tanpa paksaan.
SocialPromoter
Hi! This blog provide resource materials for the learner and the teacher.They are suitable for classroom use as well as for independent self-study.Kindly use all the materials and you are allow to copy those stuff for your reading materials and references.
 
Dreamhost promotional codes
Copyright 2009 PUSAT TUISYEN BITARA PINTAR All rights reserved.
Free Blogger Templates by DeluxeTemplates.net
Wordpress Theme by EZwpthemes